Jumaat, 29 Oktober 2010

LAWATAN KEBAKARAN DI SUNGAI BARU, SELINSING

Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Baru, Selinsing kira-kira jam 11.30 pagi  baru-baru ini. Bomba Daerah Bagan Serai yang tiba di tempat kejadian sejurus kebakaran berusaha memadamkan kebakaran tetapi api yang marak dan cepat merebak menghanguskan rumah dan harta benda.  
Mangsa, Zainuddin bin Basari berkata  punca kejadian mungkin berpunca daripada litar pintas. Ketika kejadian beliau dan isterinya keluar bekerja sementara  anak-anaknya bersekolah.
“Saya bersyukur keluarga saya selamat. Saya anggap ini adalah dugaan Allah terhadap saya dan keluarga. Tambahan pula kebakaran ini adalah kali kedua berlaku dalam masa dua tahun ” katanya yang ditemui semasa lawatan di tempat kejadian oleh Dato’ Zaili Cha, Penyelaras Parlimen Bagan Serai bersama Zulkarnain Ismail, Setiausaha UMNO dan Barisan Nasional Parlimen Bagan Serai dan isteri beliau yang menjadi guru kepada anak-anak Zainuddin.


Dalam lawatan tersebut, Dato’ Zaili Cha yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai telah menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM300.  Beliau juga turut akan berusaha membantu meminta bantuan  daripada Tabung Bencana Daerah, Majlis Daerah Kerian.
“Saya juga akan membantu memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kerian dan  Tabung Bantuan Bencana Baitul Mal Pejabat Agama Islam Bagan Serai bagi meringankan beban Zainuddin dan keluarga. Beberapa jenis bantuan lain yang melibatkan peralatan persekolahan seperti pakaian, buku-buku dan makanan melalui Program KWAMP Kecemasan akan diurus secepat mungkin oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kerian” jelas Dato’ Zaili.
            Menurut Dato’ Zaili lagi; beliau dan UMNO Bahagian Bagan Serai amat bersimpati dengan kemalangan yang menimpa keluarga Zainuddin dan beliau akan berusaha membantu menyegerakan bantuan yang akan diterima termasuk membina semula sebuah rumah baru. Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah  Azhar Jamaludin, Jawatankuasa UMNO Bagan Serai dan  Encik Sharif  Saad, Ketua UMNO Cawangan Sungai Baru.
            Sementara itu; Zaili turut memaklumkan bahawa pembinaan rumah baru Encik Omar Khamis yang terlibat dengan kebakaran di Kampung Sama Gagah kira-kira dua bulan lalu telah diluluskan dan kontraktor yang bertanggungjawab akan membinanya  secepat mungkin.