Selasa, 10 April 2012

SUMMER CAMP UPSR 1 MALAYSIA DAPAT SAMBUTAN

BAGAN SERAI – Seramai 82 pelajar daripada Sekolah-sekolah Rendah Parlimen Bagan Serai telah menghadiri Summer Camp UPSR 1 Malaysia 2012 Parlimen Bagan Serai di Kuala Gula Sanctuary Resort, baru-baru ini.
  

Peserta Summer Camp UPSR 1 Malaysia Parlimen Bagan Serai
bergambar bersama Zulkarnain

         Pelajar berusia 12 tahun adalah mereka yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi didedahkan dengan  strategi pembelajaran sistematik dan efektif untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.   
Pelajar dan Ibu Bapa sedang mengikuti sesi Ceramah Keibubapaan
         Lebih istimewa, Summer Camp UPSR 1 Malaysia ini disertai oleh pelajar pelbagai kaum dari Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dalam Parlimen Bagan Serai.

         Pelajar yang menyertai program tersebut akan diberi pendedahan   dan pengetahuan berguna bagi meningkatkan kefahaman calon UPSR memahami cara belajar dan kemahiran menjawab soalan. Setiap pelajaran dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam peperiksaan UPSR.
Pelajar dan Ibu bapa semasa Majlis Perasmian Penutup

         Pelajar juga berpeluang merasai kelainan belajar di luar sekolah mereka di samping dapat berkenalan serta bergaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai kaum.
         Pengerusi Program, Zulkarnain Ismail, berkata pendedahan strategi pembelajaran sistematik semua mata pelajaran antara faktor terbaik untuk menyuntik semangat pelajar bagi mencapai keputusan yang cemerlang. Di akhir program; Ceramah Motivasi Keibubapaan yang turut dihadiri oleh ibubapa dan penjaga pelajar telah memberi kesan positif.
         “Ini jelas apabila keceriaan dan kegembiraan pelajar yang hadir ketika menghadiri program ini selama dua hari satu malam di sini. Ramai ibu bapa pelajar yang meminta supaya program ini diadakan lagi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di Majlis Penutupan Summer Camp UPSR 2012 Parlimen Bagan Serai yang disempurnakan oleh Dato’ Zaili Cha, Pegawai Khas Menteri Besar Perak.

Dato' Zaili menyampaikan ucapan perasmian penutup
          Sementara itu, Dato’ Zaili Cha ketika menyampaikan ucapan penutup program tersebut mengharapkan setiap pelajar yang hadir dapat memanfaatkan segala teknik pembelajaran yang diberikan apabila menduduki peperiksaan nanti.

Isnin, 19 Mac 2012

SETIA ANJUR SUMMER CAMP UPSR 1 MALAYSIA

BAGAN SERAI – Sekretariat Rakyat Setia (SETIA) Bagan Serai akan menganjurkan Program Summer Camp UPSR 1 Malaysia Parlimen Bagan Serai.
            Pengerusi SETIA, Zulkarnain Ismail berkata, Program Summer Camp UPSR 1 Malaysia Parlimen Bagan Serai itu akan diadakan pada 23 – 24 Mac 2012 bertempat di Kuala Gula Sanctuary Resort dengan kerja sama Pejabat Pelajaran Daerah Kerian.
            “Melalui program ini, pelajar akan didedahkan dengan  strategi pembelajaran sistematik dan efektif terhadap semua mata pelajaran teras dalam UPSR iaitu Bahasa Melayu (Penulisan dan Pemahaman), Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Setiap pelajaran akan dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam peperiksaan UPSR” jelas Zulkarnain.
            Program Summer Camp UPSR 1 Malaysia ini terbuka kepada 80 orang pelajar yang akan mengambil peperiksaan UPSR tahun 2012 di Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina dalam Parlimen Bagan Serai secara PERCUMA. Sehingga kini, 45 orang telah mendaftar dan baki 35 orang lagi terbuka kepada pelajar yang mendaftar dengan segera.
            Ceramah Motivasi Keibubapaan akan mengakhiri program tersebut yang perlu dihadiri oleh ibubapa dan penjaga pelajar yang menyertai program tersebut. Kepada yang berminat boleh menghubungi urusetia program di talian 0124723032.  

Isnin, 6 Februari 2012

JOM MASJID PERERATKAN SILATURRAHIM

Bagan Serai – Program Jom Masjid anjuran Biro Tatanegara Cawangan Perak dengan kerja sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Gula telah diadakan di Kampung Tersusun Kuala Gula baru-baru ini.
                Program sehari itu telah menarik penyertaan masayarakat dan para belia tempatan. Beberapa aktiviti  dijalankan sempena program tersebut. Program tersebut dimulakan dengan pendaftaran penyertaan para belia dalam program tersebut  di perkarangan Masjid al-Taufiqiah, Kuala Gula. Kemudian, para belia bersama masyarakat setempat bergotong-royong membersih perkarangan masjid tersebut seperti mencuci longkang, mengemas stor, mengecat kaki meja serta memastikan persekitaran masjid kelihatan bersih.
              Selepas makan tengahari di Restoran Terapung Kuala Gula, para belia bersama masyarakat setempat menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid tersebut. Kemudian para belia seramai 50 orang dan penduduk tempatan berkonvoi beramai-ramai bersama Dato’ Zailki Cha, Penyelaras Parlimen Bagan Serai mengunjungi penduduk kurang berkemampuan di kampung tersebut. Turut serta dalam konvoi ziarah tersebut ialah Hj Abdul Moin Mustapha, Penyelaras Dun Selinsing; Zulkarnain Ismail, Setiausaha UMNO/BN Bagan Serai, Termizi Bunor, Timbalan Pengarah BTN Cawangan Perak, Abdul Rashid Abdullah, Ketua Kampung Kuala Gula, dan Zainon Ismail, Ketua UMNO Cawangan Kuala Gula. 12 keluarga diziarahi Dato’ Zaili dan konvoi di samping menyalurkan bantuan berupa barangan makanan dan lampin pakai buang.
Dato' Zaili dan Zulkarnain menyertai konvoi ziarah mengunjungi penduduk yang kurang berkemampuan

          Pengarah Program Jom Masjid, Zulkarnain Ismail ketika ditemui menyatakan program tersebut bertujuan menarik minat belia mendekati masjid di samping menyemai sikap menghargai dan memberi bantuan kepada penduduk yang kurang berkemampuan. “Program Jom Masjid dan Konvoi Ziarah yang disertai belia setempat dapat mengelak mereka daripada aktiviti yang tidak memberi faedah. Peserta juga didedahkan dengan usaha kerajaan Barisan Nasional untuk mensejahterakan rakyat melalui sesi Bicara Malam” sambung Zulkarnain lagi.


                                                                           
            Dato’ Zaili pula merakam penghargaan kepada BTN Cawangan Perak  yang telah memilih Kampung Tersusun Kuala Gula untuk Program Jom Masjid. Beliau memuji peserta belia yang menyertai program tersebut dan menyeru mereka mengekalkan sikap mendekati masjid untuk bersolat jemaah dan mengikuti pengajian agama. “Masjid adalah tempat yang paling sesuai para belia berkumpul dan merancang aktiviti untuk kebaikan belia dan masyarakat setempat” jelas Dato’ Zaili lagi.

Antara penduduk yang hadir pada sesi Bicara Malam

            Termizi Bunor, Timbalan Pengarah BTN Perak turut mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas penyertaan dan kerja sama para belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Gula. “Saya berpuashati dengan perjalanan program ini dan yakin telah mencapai objektifnya” kata Termizi.

Selasa, 3 Januari 2012

MAHASISWA DIGESA TOLAK PERHIMPUNAN HARAM

Tindakan penuntut pengajian tinggi yang terbabit dalam demontrasi tanpa kebenaran serta di dalangi kumpulan Soladariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sabtu lalu amat dikesali.
Setiausaha Barisan Nasional Bagaan Serai, Zulkarnain Ismail berkata, sepatutnya para penuntut tersebut menumpukan kepada tujuan asal mereka menjejakkan kaki ke menara gading iaitu belajar dan menimba ilmu untuk kepentingan masa hadapan mereka.
“Masa yang sepatutnya mereka gunakan untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran terutama di saat menghadapi peperiksaan, dibazirkan dengan penglibatan demontrasi haram yang tidak memberi faedah. Lebih mendukacitakan, kesannya mereka bakal disabitkan dengan tindakan tatatertib universiti dan tindakan undang-undang yang akan merugikan masa hadapan mereka serta menghampakan harapan ibu bapa” katanya yang juga bekas Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar IPSI Tanjong Malim 1992.
Tegasnya lagi, hak asasi pelajar untuk belajar dibuka seluas-luasnya. Jadi perlu apa lagi berdemontrasi? Mahasiswa sewajarnya menggunakan kebijaksanaan minda untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dengan menggunakan pendekatan diplomasi dan berhemah bukan merendahkan martabat mahasiswa sebagai golongan terpelajar dengan berdemontrasi dan berbaring di atas jalan raya seperti masyarakat yang tidak bertamaddun. “Peluang untuk berpolitik dengan matang terbentang luas setelah menamatkan pelajaran di universiti nanti” ujarnya lagi.      
Oleh demikian; sebagai mahasiswa mereka digesa menghormati sistem perundangan negara supaya keharmonian hidup di kalangan rakyat terus berkekalan.  Mahasiswa juga diingatkan jangan menyertai perhimpunan ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’ kerana mereka hanya dijadikan perkakasan untuk kepentingan pihak tertentu demi mencapai tujuan muslihat politik mereka. Sebaliknya; mahasiswa mesti mengekalkan harapan rakyat dan menjadi ‘role model’ bahawa mereka adalah kelompok rasional dan graduan terbaik untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat serta negara.