Tindakan penuntut pengajian tinggi yang terbabit dalam demontrasi tanpa kebenaran serta di dalangi kumpulan Soladariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sabtu lalu amat dikesali.
Setiausaha Barisan Nasional Bagaan Serai, Zulkarnain Ismail berkata, sepatutnya para penuntut tersebut menumpukan kepada tujuan asal mereka menjejakkan kaki ke menara gading iaitu belajar dan menimba ilmu untuk kepentingan masa hadapan mereka.
“Masa yang sepatutnya mereka gunakan untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran terutama di saat menghadapi peperiksaan, dibazirkan dengan penglibatan demontrasi haram yang tidak memberi faedah. Lebih mendukacitakan, kesannya mereka bakal disabitkan dengan tindakan tatatertib universiti dan tindakan undang-undang yang akan merugikan masa hadapan mereka serta menghampakan harapan ibu bapa” katanya yang juga bekas Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar IPSI Tanjong Malim 1992.
Tegasnya lagi, hak asasi pelajar untuk belajar dibuka seluas-luasnya. Jadi perlu apa lagi berdemontrasi? Mahasiswa sewajarnya menggunakan kebijaksanaan minda untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dengan menggunakan pendekatan diplomasi dan berhemah bukan merendahkan martabat mahasiswa sebagai golongan terpelajar dengan berdemontrasi dan berbaring di atas jalan raya seperti masyarakat yang tidak bertamaddun. “Peluang untuk berpolitik dengan matang terbentang luas setelah menamatkan pelajaran di universiti nanti” ujarnya lagi.
Oleh demikian; sebagai mahasiswa mereka digesa menghormati sistem perundangan negara supaya keharmonian hidup di kalangan rakyat terus berkekalan. Mahasiswa juga diingatkan jangan menyertai perhimpunan ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’ kerana mereka hanya dijadikan perkakasan untuk kepentingan pihak tertentu demi mencapai tujuan muslihat politik mereka. Sebaliknya; mahasiswa mesti mengekalkan harapan rakyat dan menjadi ‘role model’ bahawa mereka adalah kelompok rasional dan graduan terbaik untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat serta negara.