Bagan Serai – Program Jom Masjid anjuran Biro Tatanegara Cawangan Perak dengan kerja sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Gula telah diadakan di Kampung Tersusun Kuala Gula baru-baru ini.
Selepas makan tengahari di Restoran Terapung Kuala Gula, para belia bersama masyarakat setempat menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid tersebut. Kemudian para belia seramai 50 orang dan penduduk tempatan berkonvoi beramai-ramai bersama Dato’ Zailki Cha, Penyelaras Parlimen Bagan Serai mengunjungi penduduk kurang berkemampuan di kampung tersebut. Turut serta dalam konvoi ziarah tersebut ialah Hj Abdul Moin Mustapha, Penyelaras Dun Selinsing; Zulkarnain Ismail, Setiausaha UMNO/BN Bagan Serai, Termizi Bunor, Timbalan Pengarah BTN Cawangan Perak, Abdul Rashid Abdullah, Ketua Kampung Kuala Gula, dan Zainon Ismail, Ketua UMNO Cawangan Kuala Gula. 12 keluarga diziarahi Dato’ Zaili dan konvoi di samping menyalurkan bantuan berupa barangan makanan dan lampin pakai buang.
Dato' Zaili dan Zulkarnain menyertai konvoi ziarah mengunjungi penduduk yang kurang berkemampuan |
Pengarah Program Jom Masjid, Zulkarnain Ismail ketika ditemui menyatakan program tersebut bertujuan menarik minat belia mendekati masjid di samping menyemai sikap menghargai dan memberi bantuan kepada penduduk yang kurang berkemampuan. “Program Jom Masjid dan Konvoi Ziarah yang disertai belia setempat dapat mengelak mereka daripada aktiviti yang tidak memberi faedah. Peserta juga didedahkan dengan usaha kerajaan Barisan Nasional untuk mensejahterakan rakyat melalui sesi Bicara Malam” sambung Zulkarnain lagi.
Dato’ Zaili pula merakam penghargaan kepada BTN Cawangan Perak yang telah memilih Kampung Tersusun Kuala Gula untuk Program Jom Masjid. Beliau memuji peserta belia yang menyertai program tersebut dan menyeru mereka mengekalkan sikap mendekati masjid untuk bersolat jemaah dan mengikuti pengajian agama. “Masjid adalah tempat yang paling sesuai para belia berkumpul dan merancang aktiviti untuk kebaikan belia dan masyarakat setempat” jelas Dato’ Zaili lagi.
Antara penduduk yang hadir pada sesi Bicara Malam |
Termizi Bunor, Timbalan Pengarah BTN Perak turut mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas penyertaan dan kerja sama para belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Gula. “Saya berpuashati dengan perjalanan program ini dan yakin telah mencapai objektifnya” kata Termizi.