BAGAN SERAI – Seramai 82 pelajar daripada Sekolah-sekolah Rendah Parlimen Bagan Serai telah menghadiri Summer Camp UPSR 1 Malaysia 2012 Parlimen Bagan Serai di Kuala Gula Sanctuary Resort, baru-baru ini.
Peserta Summer Camp UPSR 1 Malaysia Parlimen Bagan Serai bergambar bersama Zulkarnain |
Pelajar berusia 12 tahun adalah mereka yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi didedahkan dengan strategi pembelajaran sistematik dan efektif untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.
Pelajar dan Ibu Bapa sedang mengikuti sesi Ceramah Keibubapaan |
Pelajar yang menyertai program tersebut akan diberi pendedahan dan pengetahuan berguna bagi meningkatkan kefahaman calon UPSR memahami cara belajar dan kemahiran menjawab soalan. Setiap pelajaran dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam peperiksaan UPSR.
Pelajar dan Ibu bapa semasa Majlis Perasmian Penutup |
Pelajar juga berpeluang merasai kelainan belajar di luar sekolah mereka di samping dapat berkenalan serta bergaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai kaum.
Pengerusi Program, Zulkarnain Ismail, berkata pendedahan strategi pembelajaran sistematik semua mata pelajaran antara faktor terbaik untuk menyuntik semangat pelajar bagi mencapai keputusan yang cemerlang. Di akhir program; Ceramah Motivasi Keibubapaan yang turut dihadiri oleh ibubapa dan penjaga pelajar telah memberi kesan positif.
“Ini jelas apabila keceriaan dan kegembiraan pelajar yang hadir ketika menghadiri program ini selama dua hari satu malam di sini. Ramai ibu bapa pelajar yang meminta supaya program ini diadakan lagi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di Majlis Penutupan Summer Camp UPSR 2012 Parlimen Bagan Serai yang disempurnakan oleh Dato’ Zaili Cha, Pegawai Khas Menteri Besar Perak.
Sementara itu, Dato’ Zaili Cha ketika menyampaikan ucapan penutup program tersebut mengharapkan setiap pelajar yang hadir dapat memanfaatkan segala teknik pembelajaran yang diberikan apabila menduduki peperiksaan nanti.
Dato' Zaili menyampaikan ucapan perasmian penutup |