Isnin, 31 Januari 2011

DR. ZAMBRY MELAWAT SABK MAAHAD EHYA ASSHARIF

             Mengakhiri lawatan kerja ke Daerah Kerian, YAB Menteri Besar telah melawat ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Ehya Assharif  walaupun tiada di dalam senarai lawatan rasmi beliau.  Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika membuat lawatan mengejut di sekolah itu memberitahu pihaknya akan memantau bentuk-bentuk bantuan yang menjadi keperluan penting di sekolah terbabit.



            Datuk Seri Dr. Zambry juga menunaikan solat Asar berjemaah di surau sekolah tersebut.



             Dalam lawatan itu, beliau turut  menyalurkan beberapa bantuan khas segera  termasuk 200 helai sejadah, 100 naskah Al Quran, 20 komputer serta 10 komputer riba. Sementara itu, dalam tempoh terdekat 20 komputer lagi akan disalurkan kepada  pihak sekolah bagi membolehkan lebih 530 pelajar menggunakannya dalam proses pembelajaran.


             “Keperihatinan YAB  Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang sudi melawat dan menyalurkan bantuan khas kepada Maahad Ehya Assharif amat kita hargai. Sebagai seorang yang amat mementingkan kepentingan dan perkembangan pendidikan beliau turut melihat keperluan bantuan prasarana dan kemudahan yang boleh dipertingkatkan lagi termasuk asrama, surau dan kawasan riadah di sekolah yang dibina pada 1934 dan tertua di Perak tersebut. Pastinya sebagai penduduk persekitaran di sini terutama ibu bapa pelajar akan bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada YAB Menteri Besar di atas bantuan yang diberi kepada sekolah yang telah melahirkan ramai tokoh di negara ini,” jelas Encik Zulkarnain Ismail, Setiausaha Barisan Nasional Parlimen Bagan Serai.






TURUN PADANG : DR. ZAMBRY MENDAHULUKAN RAKYAT

Bagan Serai -  Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak yang turun padang ke Daerah Kerian khususnya Bagan Serai baru-baru ini ternyata memberi kesan di hati rakyat. Kehadiran beliau dalam siri lawatan kerja ke kawasan ini amat dinantikan oleh pelbagai lapisan rakyat yang mengenepikan tembok fahaman kepartian.
            Sikap beliau yang  mesra dan bersahaja,  memudahkan rakyat pelbagai kaum mendekati beliau di mana sahaja kawasan yang dilawati.
            Ketika menyusuri Pekan Bagan Serai dan Ladang Lian Seng; walaupun dibasahi keringat,  beliau tenang dan sentiasa mendengar setiap permasalahan yang diluahkan oleh rakyat terutama para peniaga di pekan tersebut termasuklah masalah banjir kilat yang berlaku ketika hujan disebabkan saluran longkang yang sempit. Beliau yang turut bersama-sama Haji Ismail Hasan, Pegawai Daerah Kerian serta pemimpin Barisan Nasional Parlimen Bagan Serai memberi keyakinan bahawa masalah itu akan dikaji untuk mencari penyelesaian.

            “Kehadiran Menteri Besar di kawasan ini amat kita nanti-nantikan. Inilah buktinya yang Kerajaan Barisan Nasional Mendahulukan Rakyat, mendengar permasalahan rakyat dan menyelesaikannya. Paling membanggakan YAB. Dato’ Seri Dr. Zambry memilih sebuah kampung terpencil dalam kawasan Bagan Serai iaitu Tebok Haji Dolah untuk melancarkan Projek Lampu Jalan Kampung Negeri Perak  sebagai salah satu inisiatif  Kerajaan Negeri Perak bagi meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar. Inilah kerajaan yang prihatin dengan keperluan  dan maklumbalas rakyat melalui  program turun padang yang memerlu lampu jalan selain bantuan rumah untuk miskin tegar, bekalan air bersih dan jalan kampung yang rosak” tegas Dato’ Zaili Cha, Penyelaras Parlimen Bagan Serai yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai.

         Sempena lawatan kerja tersebut, YAB Menteri Besar turut bersama dalam Program Hari Bertemu Pelanggan  di Padang MDK, Gunung Semanggol. Dato' Seri Dr. Zambry Bin Abd. Kadir turut mendengar aduan orang ramai yang mengemukakan masalah dihadapi terus kepada beliau di “Klinik Dr. Zambry”. Selain itu, banyak agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dengan gerai pameran, kaunter aduan, dan gerai jabatan. Program sebegini dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat disamping YAB Menteri Besar Perak dapat beramah mesra dengan penduduk setempat. YAB Menteri Besar juga turut berkesempatan menjadi pengadil dalam pertandingan Tarik Tali antara Pasukan Pilihan Bagan Serai dengan Pasukan Menteri Besar yang berkesudahan dimenangi Pasukan Pilihan Bagan Serai.