Pengakuan terbuka Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa pakatan pembangkang sukar untuk bersatu dalam menghadapi sesuatu permasalahan adalah bukti kerjasama antara PAS, DAP dan PKR adalah rapuh.
Natijah pengakuan ini, membuktikan bahawa pakatan PAS, DAP dan PKR tidak layak untuk rakyat meletakkan harapan bagi memperjuangkan kepentingan masa hadapan mereka. Secara tidak langsung juga, membuktikan antara mereka (PAS, DAP dan PKR) tidak sehaluan walaupun ‘tidur sebantal namun mimpi mereka berbeza’. PAS dengan Negara Islam, DAP dengan Malaysia-Malaysian dan menentang negara Islam, sementara PKR dengan usaha menabalkan ‘Sang Saudagar Mimpi’ sebagai Perdana Menteri. Inilah bukti perpecahan idealism antara pakatan pembangkang yang cuba disembunyikan sebaliknya menuduh Barisan Nasional yang berpecah.
Haji Hadi juga membenarkan fakta bahawa pemerintahan pembangkang di Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak (selama 11 bulan) adalah lemah dari segi perlaksanaan dasar dan pencapaiannya. Sensetiviti masyarakat tidak diambil peduli dan jelas menongkah sempadan agama dan budaya pelbagai kaum. ‘Ini menyebabkan pakatan pembangkang untung secupak tetapi rugi segantang’ katanya.
Rungutan Haji Hadi sebenarnya semacam satu protes kepada PKR dan DAP yang menjadi labialiti dalam kerjasama rapuh mereka. PKR yang sentiasa terkial membersihkan ‘palitan isu moral’ Anwar Ibrahim turut ‘mengotorkan’ PAS yang sering mendakwa sebagai pejuang Islam dan ‘maksum’ itu. Sebab itulah bila Wan Azizah berkata ‘Anwar Adalah Anugerah Tuhan’, PAS langsung tidak berminat komen melainkan Nik Aziz.
PKR juga yang bimbang rakyat memberi keyakinan kepada UMNO yang melakukan transformasinya; tergesa-gesa menirunya. Hasilnya berlakulah pemilihan kepimpinan dalaman PKR di setiap peringkat dengan mendakwa 400 ribu ahlinya akan mengundi beradasarkan ‘1 Ahli 1 Undi’. Namun pelbagai kekecohan dan penipuan berlaku yang menyaksikan hanya 30 peratus ahli cabang sahaja yang keluar mengundi. Sekali gus menafikan bahawa PKR sebenarnya tidak mempunyai 400 ribu ahli seperti didakwa. Kesannya; ramai yang membawa diri keluar PKR yang tidak demokratik pemilihannya gara-gara menobatkan ‘insan kamil’ Anwar iaitu Azmin Ali. Tetapi dalam masa yang sama PKR tidak malu ‘menggula-gulakan’ rakyat untuk menjadi kerajaan yang mengamalkan demokrasi tulen kononnya. Paling lucu kerana nak menjadi pemimpin nombor satu; Anwar terus mengekalkan kekuasaannya tanpa dipertandingkan melalui jawatan Penasihat Umum seperti meniru jawatan Mursyidul Am dalam PAS.
Semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat bukan Melayu; maka melalaklah Anwar, Azizah, Azmin (3A) bahawa Hak Istimewa Orang Melayu akan dihapuskan jika mereka membentuk kerajaan. Inilah sebenarnya ‘desperado politik’ yang ‘matlamat menghalalkan cara’ biarpun yang rugi bangsa mereka (Melayu) sendiri. Sedangkan dalam senario negara ketika ini; bukan Melayu juga telah memahami konsep Hak Istimewa Orang Melayu yang tidak menafikan hak yang patut mereka dapati. 3A inilah sebenarnya petualang bangsa dan negara. Benarlah kata orang tua-tua; ‘yang nak membelahkan kayu, maka kayu jugalah yang digunakan’. Lantas ‘bola tanggung’ yang diberikan oleh 3A ini disambut dengan senyuman oleh pimpinan DAP yang sentiasa mengintai peluang apabila ‘tunggangan mereka melatah’.
Oleh demikian; semacam ada kesedaran dalam diri Haji Hadi mahupun pimpinan lain dalam PAS akan kepentingan Islam dan Melayu di Malaysia yang sememangnya tersurat bahawa ‘Melayu itu Islam’ dan ‘Islam itu Melayu’ di Malaysia tercinta ini. Kesedaran inilah yang sepatutnya diterjemah dengan membentuk kesepaduan antara umat Islam dan Melayu dengan meruntuhkan tembok keegoan dan bersatu dengan sokongan semua kaum yang lain untuk terus memartabatkan negara Malaysia yang aman dan makmur. Masa masih ada dan bertindaklah dengan semangat HIJRAH.