Isnin, 18 April 2011

BUKTI DAP PENCETUS POLA POLITIK PERKAUMAN

DAP GUNA POLITIK PERKAUMAN (UTUSAN MALAYSIA 19 APRIL 2011)

KUALA LUMPUR 18 April - Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai membidas DAP kerana menggunakan politik perkauman pada kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, baru-baru ini.

     Beliau berkata, selain itu, DAP yang berjaya memenangi 12 kerusi pada pilihan raya berkenaan turut memutarbelitkan fakta dan menjaja cerita separuh benar dalam kempen mereka."Ya, saya akan kata demikian," katanya selepas merasmikan Dewan Bedah OR1 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

     Menurutnya, tindakan DAP itu akhirnya hanya merugikan kaum Cina kerana suara yang mewakili mereka dalam kerajaan negeri ketika ini adalah amat sedikit jika berbanding sebelum pilihan raya negeri lalu.

     "Mereka kononnya cuba 'jual' sistem dua parti di Sarawak. Namun akhirnya bukan sistem dua parti wujud tetapi berlaku polarisasi yang mana wakil kaum Cina diketepikan.
"Ia adalah penamat yang ekstrem yang mana wakil kaum Cina diundi keluar. Kononnya sistem dua parti tetapi akhirnya tiada wakil Cina dalam kerajaan," katanya.

     Katanya, MCA bertindak secara agresif bagi mendedahkan perancangan DAP yang dilakukan dalam kempen pilihan raya di Sarawak. "Mereka tidak cerita perkara sebenar. Sebagai contoh DAP asyik katakan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah terlampau lama memerintah. "Tetapi mereka tidak cakap pula tentang pemimpin dalam parti itu sendiri yang juga sudah lama berpolitik. Sebab itu kami akan bertindak lebih agresif membuat pendedahan mengenai DAP terutama melalui media siber," ujarnya.

     Mengulas tulisan Awang Selamat Ahad lalu agar kerajaan tidak merayu dan memenuhi permintaan masyarakat Cina jika akhirnya sokongan mereka tetap kepada DAP, Tiong Lai berkata, beliau tidak bersetuju jika dikatakan kebanyakan kaum Cina tidak menyokong kerajaan.

     "Saya rasa keadaan berbeza di Sarawak dan Semenanjung. Trend pengundian di Sarawak bukanlah cerminan kepada sokongan kaum Cina di Semenanjung. "Pada saya jika kita bercakap tentang pengundian di bandar, ia bukan saja tentang kaum Cina tetapi semua kaum yang berada di situ. Apa pun saya fikir, Utusan Malaysia tidak sepatutnya 'memainkan' perkara berkaitan kaum," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan