Isnin, 5 September 2011

MAT SABU, PAS MENGHEROKAN KOMUNIS

Kubur 25 Wira Bukit Kepong
Cabaran Tokoh Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri khoo Kay Kim agar Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menemui beliau untuk ‘belajar’ sejarah tanah air membuktikan Mohamad Sabu seorang yang cetek pengetahuan sejarah negara dan kurang membaca sebaliknya membuat kenyataan mengikut tafsiran dan nafsu sendiri.
Tindakan ‘kurang ajar’ Mat Sabu selaku Timbalan Presiden Pas, meng‘hero’kan Parti Komunis Malaya (PKM) dan Mat Indera bukannya 25 orang Polis yang terkorban mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dan Tanah Melayu sememangnya adalah ‘suara’ sebenar Pas. Buktinya Presidennya, Haji Abdul Hadi Awang terus membela Mat Sabu dan menganjurkan supaya  rakaman fakta sejarah tanah air perlu tulisan semula.
Tindakan Mat Sabu dan Pas yang memesongkan fakta sejarah sebenarnya bertujuan provokasi, kepentingan peribadi dan politik. Jelas, dengan berbuat demikian menunjukkan mereka tidak mensyukuri nikmat kesenangan dan amalan demokrasi  yang terlaksana dengan cemerlang di negara ini.
Mat Sabu dalam ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos 2011 mendakwa Muhammad Indera yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari  1950 adalah ‘hero’ sebenar kemerdekaan negara.
Mat Sabu sebenarnya menyambung usaha lampau pemimpin Pas lalu untuk memburukkan pejuang tanah air dan para pimpinan UMNO bagi mengurangkan rasa terhutang budi kerana dapat membatalkan rancangan Malayan Union oleh British, menewaskan pengganas komunis serta memerdekakan tanah air.
Sebab itulah Mat Sabu bersikap biadap dengan mendakwa Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan, sebaliknya mengangkat kezaliman komunis sebagai satu kemuliaan. Ini jelas satu penghinaan serta pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air melalui sumbangan besar pemimpin Melayu terdahulu yang menyuntik semangat dan kesedaran politik bagi menentang penjajah Inggeris dan Malayan Union.
Peringkat awal apabila Mat Sabu ditempelak rakyat berkaitan isu ini, beliau cuba menyelamatkan diri dengan menjawab ‘lupa’ terhadap apa yang dituturkan. Apakah Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas dibelenggu sindrom ‘nyanyuk’. Kalau benar amat malanglah ahli Pas mempunyai Timbalan Presiden yang ‘nyanyuk’. Tetapi, apabila disiarkan kenyataan ucapannya melalui rakaman video barulah beliau akur namun enggan memohon maaf.
Sesungguhnya pendirian Mat Sabu yang juga pendirian Pas ini sewajarnya membuka mata dan keinsafan kepada ahli dan penyokong Pas bahawa pimpinan Pas telah tersasar daripada perjuangan parti itu sebaliknya mengikut selera mereka demi ‘gilakan kuasa dan Putrajaya’ untuk memerintah. Ini terbukti apabila pimpinan parti itu telah ‘membakul sampah’ perjuangan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam serta melupakan hasrat melaksanakan hulum hudud demi mendapat sokongan khususnya DAP dan orang Cina.
Buktinya dengan tindakan Pas yang ‘menikus’ dan menjadi ‘boneka politik’ kepada DAP dan PKR apabila timbul isu ‘cubaan memurtadkan 12 individu muslim’ di Selangor dan ‘bacaan Quran melalui pembesar suara’ di Pulau Pinang. Sebab itulah juga Pas menukar konsep perjuangan kepada negara berkebajikan dan tidaklah mengejutkan jika Pas juga akan mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan serta meminggirkan raja-raja Melayu.
Ahli dan penyokong Pas juga perlu insaf dengan penuh ikhlas bahawa Pas sekarang sudah jauh terpesong daripada Pas era Ustaz Zulkifli, Burhanuddin Al-Helmi, Asri Muda dan Abu Baqar al-Baqir.
Oleh demikan, ahli dan penyokong Pas perlu melakukan muhasabah. Faktanya; sesiapa yang menyokong kenyataan Mat Sabu dan Pas bermakna menyokong komunis dengan mengamalkan fahaman yang menentang kewujudan tuhan dan agama sejak diasaskan Karl Marx termasuk agama Islam. Karl Marx menganggap agama sebagai candu yang boleh merosakkan manusia dan perlu dihapuskan. Tepuklah dada tanyalah iman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan