Isnin, 28 November 2011

CALON BN BAGAN SERAI PRU-13

UMNO dan Barisan Nasional  Bagan Serai sudah menyiapkan jenteranya dan   bersedia menghadapi PRU13. Dato’ Zaili Cha, Pengerusi Barisan Nasional merangkap Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai berkata, UMNO dan BN sudah menyiapkan jentera bagi menghadapi PRU13  serta sudah  menggerakkannya selepas PRU12 tahun 2008 dengan pelbagai perubahan dilakukan dalam semua sudut sesuai dengan Tranformasi Politik UMNO dan Barisan Nasional.  

Namun demikian, UMNO dan BN Bagan Serai tidak mengambil mudah cabaran pada Pilihanraya Umum Ke-13 sebaliknya bekerja keras untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada BN dan menyelesaikan permasalahan yang wujud.

‘BN Bagan Serai akan terus memberi penekanan kepada usaha membantu rakyat, menyelesaikan isu dan mempertingkatkan kerjasama dan perpaduan dalam parti komponen yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Di samping itu; kita juga mendapat sokongan yang kuat daripada parti penyokong BN di Bagan Serai  seperti IPF dan Makhal Shakti di samping beberapa NGO lain’ ujar Dato’ Zaili.

Umum mengetahui kawasan Parlimen Bagan Serai mengandungi 3 kawasan DUN iaitu Alor Pongsu, Gunong Semanggol dan Selinsing. Menyentuh mengenai calon pada PRU13 nanti, beliau sependapat dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa telah mengenal pasti calon yang dikatakan ‘Winnable’ (boleh menang) dan ‘Likeable’ (disukai) di setiap kawasan serta mendapat sokongan daripada parti termasuk pengundi.

‘Apa yang saya nak tegaskan bahawa BN Bagan Serai juga mempunyai calon-calon tempatan yang memenuhi kritiria yang digariskan YAB. Dato’ Seri Mohd Najib dan YAB. Datuk Seri Dr Zambry untuk menggalaskan cabaran BN dan mencapai kemenangan dalam PRU13 nanti’ sambung Dato’ Zaili.  
  
Mengenai perancangan merampas Parlimen Bagan Serai dalam PRU 13, beliau menegaskan bahawa selepas PRU12 pada tahun 2008, UMNO dan BN Bagan Serai telah mengimbas semula faktor yang mempengaruhi kemerosotan sokongan yang menyebabkan kekalahan di Parlimen Bagan Serai, DUN Gunong Semanggol. Selinsing di samping menang tipis di DUN Alor Pongsu.  

Oleh demikian; kita telah mengenalpasti dan membuat analisis faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi aliran pengundian pada ketika itu. Hasilnya kita telah melakukan perubahan seiring Tranformasi Politik UMNO dan BN yang dilakukan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak. Beberapa pendekatan juga telah dilakukan bagi memantapkan UMNO dan BN di Bagan Serai untuk mengembalikan sokongan rakyat di kawasan ini. Di samping itu, pelbagai program yang menjurus kepada rakyat digerakkan secara berterusan sehingga pilihanraya diadakan.   

FAKTOR KEMENANGAN BN DI BAGAN SERAI

Zulkarnain Ismail, Setiausaha BN Bagan Serai menyatakan bahawa kekalahan BN di di DUN Selinsing, Gunong Semanggol dan Parlimen Bagan Serai sejak PRU12 pada tahun 2008 sememangnya memberi kesedaran dan keinsafan kepada rakyat di kawasan ini  betapa pentingnya wakil rakyat yang berwibawa, amanah dan bertangung jawab.

Hakikat inilah yang terpaksa ‘dibayar’ oleh rakyat apabila wakil rakyat pembangkang yang memenangi kawasan ini tidak mampu membela kebajikan mereka. Rintihan rakyat bukan sahaja terabai malahan tidak mendapat perkhidmatan yang sewajarnya. Yang mereka mahu, Wakil Rakyat yang  bukan hanya sekadar jumpa di pasar-pasar sehari, atau dalam majlis perkahwinan dan kematian tetapi pembelaan terhadap kebajikan dan pembangunan setempat.

Oleh demikian, walaupun BN mengalami kekalahan di DUN Selinsing, Gunong Semanggol dan Parlimen Bagan Serai, para pimpinan BN Bagan Serai tetap menabur khidmat bakti kepada masyarakat di kawasan ini dengan mendekati, melihat dan mendengar seterusnya menangani setiap permasalahan dihadapi penduduk. Perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan-kawasan ini diselaraskan melalui seorang Penyelaras DUN, Penyelaras Parlimen disamping YB. Dato’ Sham di kawasan Alor Pongsu yang diwakilinya. Inilah bukti komitmen Kerajaan BN yang berterusan membela rakyat walaupun di kawasan yang diwakili pembangkang.  

Kesungguhan BN melaksanakan pembangunan dan mendekati rakyat itu membuatkan penduduk mempertikai kegagalan peranan  wakil rakyat pembangkang. Selain itu, isu-isu yang dicetuskan pembangkang untuk mencari populariti menyerlah sikap sebenar pembangkang kepada rakyat.  Sebaliknya BN dibawah kepimpinan YAB. Dato’ Seri Mohd Najib melalui pembentangan Bajet 2012 dan YAB. Datuk Seri Dr Zambry dengan Perak Aman Jaya sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Atas semua indikator itulah; perkembangan terkini semakin positif dan  aliran pengundian dilihat cenderung menyokong BN bagi meneruskan legasi pembangunan dan kebajikan  yang diperlukan rakyat di kawasan ini.

SOKONGAN RAKYAT TERKINI KEPADA BARISAN NASIONAL

Dato’ Sham Mat Sahat, ADUN Alor Pongsu merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai optimis dengan sokongan rakyat terhadap BN di DUN Alor Pongsu, Gunong Semanggol, Selinsing dan Parlimen Bagan Serai.

Semua kawasan ini kita tetap memberi perkhidmatan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang mereka. Kesungguhan pimpinan BN membantu rakyat inilah yang membuatkan rakyat yakin dengan kerajaan BN sama ada di peringkat negeri Perak mahupun Persekutuan tidak terkecuali di Bagan Serai.

Tambahan pula, pihak pembangkang yang menabur berbagai janji dalam PRU12 lalu bertujuan mengaburi mata rakyat gagal melaksanakannya walaupun diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat di DUN Gunong Semanggol, Selinsing dan Parlimen Bagan Serai. Sebab itulah kita dapat melihat keresahan rakyat sama ada Melayu, India dan Cina di Parlimen Bagan Serai ini terhadap wakil rakyat pembangkang termasuk Bebas yang tidak berjaya menunaikan tanggung jawab sebenar mereka sebagai wakil rakyat. Keadaan inilah menunjukkan bahawa sentimen agak bertambah baik dan saya yakin  masyarakat di Parlimen Bagan Serai akan membuat pilihan bijak dengan memberi sokongan kepada BN dalam PRU13.

Isnin, 7 November 2011

IBADAH KORBAN DISEMPURNAKAN DENGAN NIKMAT KEMAKMURAN NEGARA

PARIT GABIS – Pada 10, 11, 12, 13  Zulhijjah mengikut kalendar Islam, amat dinanti masyarakat Muslim yang mengakui kehebatan dan keberkatan ALLAH SWT. Ketika inilah sambutan Aidiladha umat Islam akan melakukan ibadah korban bagi menyatakan rasa penghargaan dan kesyukuran serta mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.
Penyembelihan lembu Korban
Umat Islam yang berkemampuan akan melakukan penyembelihan haiwan ternakan seperti unta, lembu, kerbau, dan kambing mengikut syarak bagi merebut hikmah dan keberkatan melakukan ibadah Korban kerana bertaqqarub (mendekatkandiri) kepada ALLAH SWT.
Hadirin bergotong-royong melapah daging Korban
Tidak terkecuali di Bagan Serai, kedatangan Aidiladha disambut penuh meriah secara sederhana dengan melakukan korban penyembelihan haiwan di Kampung Parit Gabis, Masjid Tinggi. Tahun ini giliran DUN Selinsing menjadi tuan rumah majlis korban yang dimulakan sejak awal 7 pagi dengan 21 ekor lembu dikorbankan. Kira-kira 600 orang ramai hadir bergotong-royong melapah, memotong daging, membungkus dan mengagihkan kepada para penerima yang kurang berkemampuan daripada 112 Cawangan UMNO dalam Bahagian Bagan Serai. 
   Gotong-royong memotong daging Korban
Dato’ Zaili Cha, Pegawai Khas Menteri Besar Perak merangkap Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai telah menyampaikan sedekah daging korban kepada para penerima.
Dato' Zaili dan Zulkarnai turut membantu memotong daging Korban 
 Dalam ucapannya; Dato’ Zaili merakamkan penghargaan kepada para penderma yang menyumbang Korban mereka kepada UMNO Bahagian Bagan Serai.
Dato' Zaili menyampaikan daging Korban kepada wakil para penerima

‘Nikmat keamanan dan kemakmuran di Malaysia melalui pemerintahan para pemimpin Kerajaan Barisan Nasional yang bertanggung jawab turut sama dinikmati rakyat. Buktinya di mana sahaja di Malaysia, umat Islam berkemampuan melakukan ibadah Korban yang diagihkan untuk menceriakan rakyat yang kurang berkemampuan’ kata Dato’ Zaili.
  Dato' Sham turut menyampaikan daging Korban kepada wakil para penerima
Turut hadir Dato’ Sham Sahat, ADUN Alor Pongsu, Haji Abdul Moin Mustaffa, Penyelaras DUN Selinsing, Zulkarnain Ismail, Setiausaha UMNO Bahagian Bagan Serai, Hjh Asmah Ramli, Ketua Wanita, Sharudin Ahmad, Ketua Pemuda, Norsyuada Baharon, Ketua Puteri dan para pimpinan UMNO Bahagian dan Cawangan. 

Sabtu, 5 November 2011

BAGAN SERAI KUTUK PROGRAM SEKSUALITI MERDEKA 2011

BAGAN SERAI – 200 orang berkumpul secara aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Bagan Serai bagi membuat laporan polis membantah dan mengutuk Program Seksualiti Merdeka 2011.
Dato' Zaili, Dato' Sham, Zulkarnain, Ponazakhan, Rajindra
                          sedang membuat laporan polis di IPD Kerian                       
12 laporan polis telah dibuat dalam perhimpunan tersebut yang membabitkan Barisan Nasional, UMNO, MIC, PPP, Makhal Shakti, IPF, Kelab Kulaan, PEKIDA, Ketua-Ketua Kampung, Wanita, Pemuda dan Puteri BN.

Semua pertubuhan politik dan NGO yang membuat laporan polis sependapat mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan Ambiga, Majlis Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sister in Sister (SIS) dan 20 NGO lain yang terlibat dalam penganjuran Program Seksualiti Merdeka pada 3 hingga 13 November 2011  yang bertujuan mempertahan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual di negara ini.  
Zulkarnain Ismail, Setiausaha BN Bagan Serai sedang membuat laporan polis

Dato’ Zaili Cha, Pegawai Khas Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Barisan Nasional Bagan Serai  menegaskan tujuan laporan polis dibuat adalah membantah dan mengutuk terhadap penganjuran Program Seksualiti Merdeka 2011 kerana mempromosikan seks bebas yang bertentangan dengan nilai kebanyakan agama di dunia seperti Islam, Kristian, Budha dan Hindu serta berlawanan dengan adat resam dan tatasusila masyarakat Timur di Malaysia. Malahan program tersebut bertentangan dengan akidah Islam serta kepercayaan agama lain kerana jelas melanggar fitrah kejadian manusia.
 Ahli Barisan Nasional dan NGO Bagan Serai selepas membuat
laporan polis mengutuk Seksualiti Merdeka 2011
‘Sebab itulah hari ini walaupun berbeza bangsa dan agama, tetapi kita mampu berhimpun dengan niat dan tekad yang satu mempertahankan agama masing-masing di samping mengutuk usaha menghancurkan fitrah kemurnian penciptaan manusia’ jelas Dato’ Zaili.

Sementara itu, Setiausaha barisan Nasional Bagan Serai, Zulkarnain Ismail ketika ditemui menasihat Majlis Peguam terutama 15 ribu anggotanya yang beragama Islam menghayati Perlembagaan Negara berkaitan Kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan hakikat Program Seksualiti Merdeka 2011 mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.
 Wakil NGO bersama pemimpin BN Bagan Serai
‘Mereka pengamal undang-undang yang lebih arif Perlembagaan Negara seharusnya tidak berdiam diri dengan pimpinan  Majlis Peguam yang ternyata menyeleweng dari fungsi sebenar mereka. Usah bersubahat dan memberi ruang kepada mereka mengheret anggotanya yang beragama Islam untuk murtad dan syirik kepada Allah’.

‘Oleh yang demikian kita menggesa pihak berkuasa membuat siasatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak penganjur dan peserta program tersebut yang kononnya berjuang untuk hak asasi manusia tetapi sebaliknya kita yakin dan percaya bahawa ini adalah uasaha terancang untuk meruntuhkan akhlak masyarakat terutama golongan belia di negara ini’ tegas Zulkarnain lagi.

Dato’ Sham Mat Sahat, ADUN Alor Pongsu pula turut mendesak pihak berkuasa membuat siasatan tujuan program tersebut diadakan kerana diyakini mempunyai unsur memperlekeh Malaysia di peringkat antarabangsa melalui perjuangan hak asasi manusia di negara ini.  

‘Semua rakyat Malaysia bersatu hati bertegas bahawa Malaysia hanya menerima hak asasi manusia yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peruntukan Undang-undang Negara, katanya.

Ponnazhakan A/L Pushpanathan, Timbalan Ketua MIC Bagan Serai pula turut menempelak penganjuran Program Seksualiti Merdeka 2011 kerana    jelas bertentangan dengan Perlembagaan Negara Perkara 3(1) berkaitan kedudukan Islam sebagai Agama Rasmi Malaysia dan kebebasan mengamal agama lain dengan aman damai dalam Persekutuan. ‘Hakikatnya Program Seksualiti Merdeka 2011 jelas menghina kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta agama-agama lain di Malaysia’ sambung Ponnazhakan.