Sebelum pulang dari Lawatan Kerja Dua Hari ke Daerah Kerian terutama di kawasan bagan Serai, YAB Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir turut menziarahi Ashrul Abdullah, 36, di Kampung Kubu Gajah, Semanggol yang kudung kedua kakinya akibat kanser saraf.
Hasrat bertemu dengan Menteri Besar disampaikan melalui ibunya yang terus memanjangkannya kepada Hajah Asmah Ramli, Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Serai. Mendengar perkhabaran tersebut YAB. Menteri Besar terus bersetuju untuk berjumpa dengan peminat istimewanya itu.
Datuk Seri Dr. Zambry turut menghulur sumbangan peribadi dan memberi kata-kata semangat kepada Ashrul di samping akan terus memantau kebajikan yang diperlukannya terutama kos rawatan yang tinggi.
Ashrul yang ditemui amat terharu dengan kehadiran Menteri Besar yang amat disayangi kerana sudi menziarahi beliau yang tinggal bersama dengan ibunya itu. “Saya berdoa agar Allah memberi kekuatan dan kesihatan yang baik kepada Datuk Seri Dr. Zambry untuk terus mentadbir negeri ini dengan penuh kecemerlangan,” ujar beliau.
Datuk Seri Dr. Zambry pulang ke Ipoh jam 7 malam dan sempat memberi kata-kata semangat kepada para pemimpin masyarakat di Bagan Serai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan