Isnin, 14 Februari 2011

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1430 HIJRAH

Alhamdulillah, syukur  ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kita keizinan untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal pada tahun ini. Rabiul Awwal, iaitu bulan kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sebagai insan pilihan Allah, menjadi nabi dan rasul akhir zaman yang telah membawa rahmat untuk sekalian alam.

Kedatangan Muhammad SAW adalah pelengkap kepada nikmat Allah SWT kepada manusia. Tidak akan ada lagi nabi dan rasul selepas Muhammad SAW. Tiada lagi agama dan syariat  yang baru selain Islam yang di bawa oleh Baginda Muhammad SAW selepas kewafatannya. Firman Allah :

Pada  hari  ini, telah  Aku   sempurnakan  untuk
kamu, agama kamu, dan telah Aku cukupkan ke
atas  kamu nikmat-nikmat-Ku,  dan  Aku    telah  
meredhai hanya Islam sebagai agama buat kamu.
                                                 (Surah al-Maidah : 3 )

Muhammad SAW sebagai kekasih Allah, melahirkan  kerinduan kita kepada Baginda SAW dan senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan pengorbanannya. Rasulullah SAW telah meninggalkan kepada kita manhaj hidup yang begitu sempurna meliputi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Manhaj yang Baginda SAW tinggalkan ini telah dipraktikkan oleh generasi selepas Baginda iaitu para Sahabat dan ternyata ianya memang berkesan dan Islam berjaya disebarkan hampir keseluruh pelusuk negara Arab,  di Asia dan Afrika. Kejayaan mereka semua datang dari keyakinan dan keteguhan hati mereka dalam mengamalkan dan berpegang dengan Sunnah Rasul SAW.

         Dan  tiadalah  Kami mengutusmu (Muhammad)  
melainkan untuk  umat  manusia    seluruhnya,
sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi
amaran;   akan   tetapi   kebanyakan    manusia
tidak mengetahui.                   (Surah Saba’: 28)

Oleh yang demikian; paling asas mencapai kecemerlangan hidup ialah dengan menghayati sifat kenabian baginda iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Ciri-ciri Muhammad SAW ini juga akan menjadi inspirasi dan adaptasi terutama untuk umat Islam dan lain-lain bangsa bagi memacu usaha meningkatkan ummah yang progresif di Malaysia serta hidup dalam erti perpaduan yang sebenar.

Tiadalah Kami mengutus engkau (Muhammad)
melainkan     untuk    menjadi   Rahmat     bagi
sekalian alam.”            (Surah. al- Anbiya : 107)

        Perjuangan Rasulullah SAW., yang memperkukuh institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah sewajarnya dihayati umat Islam merentasi batas ideologi politik. Oleh itu, sempena kita memperingati Maulidur Rasul ini, bersamalah kita memperkukuhkan perpaduan melalui kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan 1 bangsa Malaysia ampuh.

1 MALAYSIA 1 UMMAH.

ZULKARNAIN BIN HJ. ISMAIL AMP., PPT.
SETIAUSAHA BARISAN NASIONAL BAGAN SERAI



Tiada ulasan:

Catat Ulasan