Selamat Tahun Baru Cina 2011 dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tiong Hua. Adalah diharapkan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini lebih meriah dengan sambutan bersama oleh masyarakat Melayu, India, dan kaum-kaum lain.
Tahun Baru Cina kali ini merupakan tahun arnab. Ianya melambangkan kebersihan, ketangkasan, kejujuran, inovatif dan produktif. Kebiasaannya masyarakat Cina akan mengambil pedoman dari kitaran tahun-tahun tersebut untuk mencipta dan merencanakan masa depan yang lebih cemerlang. Kita semua mahukan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita juga berhasrat Malaysia yang dicintai ini senantiasa makmur, maju, aman dan harmonis.
Keakraban persahabatan dan saling hormat menghormati antara kaum, bangsa dan agama yang wujud di negara kita adalah satu keunikan dan rahmat kurniaan Tuhan. Usaha-usaha ke arah memantapkan hubungan persaudaraan yang dilakukan kerajaan menatijahkan suasana sejahtera, harmoni, aman dan damai. Ini dapat dilihat melalui GAGASAN 1 MALAYSIA yang diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. Gagasan PERAK AMAN JAYA yang dizahirkan oleh YAB Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak juga adalah manifestasi kelangsungan gagasan keramat tersebut. Biarpun kita mempunyai pelbagai bahasa, budaya dan agama; namun kepelbagaian itulah yang membuatkan kita saling mengenali dan memahami seterusnya membentuk kesepaduan 1 MALAYSIA. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.
Sesungguhnya masyarakat Tionghua dengan kerja sama masyarakat pelbagai kaum dalam negara kita telah berperanan aktif memajukan negara terutama dalam aspek pembangunan ekonomi yang turut menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara.
Selamat menyambut Tahun Baru Cina daripada kami, keluarga dan gerak kerja BARISAN NASIONAL BAGAN SERAI di semua peringkat. Terima kasih.
ZULKARNAIN BIN HJ. ISMAIL AMP., PPT.
SETIAUSAHA BARISAN NASIONAL BAGAN SERAI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan