Rabu, 28 September 2011

PAS ‘Pak Angguk’ DAP dan PKR


Tepat seperti jangkaan ramai,  Pas  akan  hanya menjadi ‘Pak Angguk’ kepada parti teduhannya iaitu DAP. Keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang yang dianggotai DAP, PKR dan Pas menolak cadangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud hanya diterima tanpa bantahan. Sebaliknya Pas akan membantah dan menyerang sebarang pendirian kalau datangnya daripada UMNO dan Barisan Nasional. Keputusan dan gerak-geri Pas serta PKR ini dibuat pastinya kerana  bimbang ugutan DAP untuk meninggalkan kerjasama rapuh mereka dalam pembangkang.
Umum mengetahui bahawa walaupun Pakatan Pembangkang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi penentu setiap keputusan adalah DAP yang mempunyai prestasi cemerlang di kalangan parti pembangkang dalam PRU 12 berbanding PKR dan Pas. Manusia yang paling takut seandainya DAP keluar dari gabungan pembangkang ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana akan merencat bahkan menggagalkan impiannya bergelar Perdana Menteri dan menawan Putrajaya dalam PRU Ke-13.
Yang lucunya sebelum ini; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, lantang menyatakan Pas akan menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud biarpun ditentang sekutunya dalam pembangkang iaitu DAP dan rela sekiranya DAP mahu meninggalkan pakatan pembangkang disebabkan perkara tersebut. Sebaliknya Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang tidak memberi sebarang komen berkaitan isu hudud ini. Jelaslah bahawa; kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyifatkan Menteri Besar Kelantan itu sebagai orang tua yang inginkan perhatian ada kebenarannya. Ini ditambah dengan desakan bloger pro-Pas yang mendesak supaya Menteri Besar itu tidak bertanding  dalam PRU Ke-13. Fahamlah kita bahawa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi labialiti kepada Pas. 
Sebenarnya, tindakan Nik Aziz ini juga menyerlahkan sikap sebenar beliau dan PAS yang hanya memanipulasi isu untuk kepentingan politik mereka terutama untuk mempertahankan Kelantan dalam PRU Ke-13. Tindakan ini dibuat setelah kepimpinan dan dasar pentadbiran beliau yang ‘suram’ mula menjadi bualan rakyat. Maka isu hudud ini sengaja digembar-gemburkan Nik Aziz dan Pas bagi mengelabui mata rakyat atas kepincangan kepimpinan mereka dan kegagalan menunaikan janji  sejak 20 tahun lalu yang berikrar melaksanakan hukum hudud di Kelantan jika memerintah negeri itu.  Tetapi hakikatnya sehingga kini Pas tidak menunaikan janji–janji tersebut sebaliknya menuding jari kepada orang lain.
Isu hudud juga telah membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan Pembangkang ketiadaan persefahaman antara parti. Oleh demikian, rakyat tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan dari segi prinsip dan ideologi. Ini diakui sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penolakan cadangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia berbeza dengan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga megakui bahawa kerajaan Pas Kedah perlu menjaga dan mendengar pendapat sekutunya dalam pakatan pembangkang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu perkara termasuk melibatkan syiar Islam.
Justeru itulah, kebimbangan ahli dan penyokong Pas dengan kerjasama antara Pas dan DAP suatu ketika dahulu sememangnya menjadi kenyataan. Kerjasama Pas-DAP lebih menguntungkan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim  dalam mencapai cita –cita peribadi mereka. Yang menjadi mangsa adalah Pas. Ahli Pas wajib ingat dengan kata-kata Karpal yang mencabar langkah mayatnya dahulu sebelum negara Islam dapat dilaksanakan. Oleh demikian; ahli dan penyokong Pas perlu insaf dengan penuh ikhlas serta mengambil tindakan meninggalkan Pas kerana selagi Pas-DAP bekerjasama, cita-cita untuk membawa wadah Islam di bumi Malaysia ini tidak akan tercapai.

Rabu, 7 September 2011

INGAT MAT SABU DAN PAS, INGAT KOMUNIS : KARPAL JADI HERO

Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menggesa Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu menarik balik kenyataan mengenai tragedi Bukit Kepong adalah satu lagi sandiwara atau lakonan pembangkang mengikut jejak langkah Ketua Pembangkang, ‘aktor’ Anwar Ibrahim. Sandiwara ini dibuat Karpal bagi menyelamatkan pakatan pembangkang daripada kemarahan dan cemuhan rakyat untuk menjamin sokongan terhadap mereka.
Karpal sudah nampak reaksi kurang senang rakyat terhadap tindakan Mat Sabu yang mengangkat pengganas komunis sebagai pejuang negara. Karpal Nampak kenyataan Mat Sabu merugikan Pas dan memberi kesan kepada pakatan pembangkang kerana rakyat menyedari hakikatnya gerila komunis telah membunuh ramai orang Melayu, kaum Cina dan India yang tidak menyokong mereka termasuk anggota keselamatan yang berjuang untuk negara.
Gerila komunis berjuang untuk menjajah negara ini dan menjadikannya negara komunis. Inikah yang dianggap hero dan pejuang kemerdekaan tafsiaran Mat Sabu. Ternyata Mat Sabu dan Pas buta sejarah.
Kenyataan Karpal menggesa Mat Sabu supaya menarik balik kenyataannya dilihat agak pelik dan janggal. Sebelum ini Karpal juga ‘seangkatan’ seperti  Mat Sabu kerana pernah menghina raja-raja Melayu dan tidak pernah menarik balik kenyataan itu. 
     Sebenarnya Mat Sabu kini mengikut telunjuk DAP. Mat Sabu dan Pas berbangsa Melayu dan Islam  telah menjayakan doktrin DAP untuk mencapai matlamat mereka. Selepas ini mungkin Mat Sabu akan menggesa kerajaan untuk memberi penghormatan dengan membenarkan Chin Peng menetap di Malaysia di samping memberi gelaran ‘Wira Kemerdekaan’.
Tahniah kepada perwakilan Pas yang telah memilih Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas mengenepikan Nasharudin Mat Isa yang lebih rasional berpolitik. Mat Sabu memang diminati ramai ahli Pas kerana sebelum ini dia menjadi ‘badut politik’ dalam tiap ceramahnya dan sering membuat ahli Pas yang hadir ketawa terbahak-bahak dan ‘subahah’ apabila mengumpat dan memfitnah musuh politiknya. Oleh demikian; para perwakilan Pas akan datang disarankan perlu pula memilih Mat Sabu sebagai Presiden Pas bagi menggantikan Hadi Awang yang kurang ‘aura’nya.

Isnin, 5 September 2011

MAT SABU, PAS MENGHEROKAN KOMUNIS

Kubur 25 Wira Bukit Kepong
Cabaran Tokoh Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri khoo Kay Kim agar Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menemui beliau untuk ‘belajar’ sejarah tanah air membuktikan Mohamad Sabu seorang yang cetek pengetahuan sejarah negara dan kurang membaca sebaliknya membuat kenyataan mengikut tafsiran dan nafsu sendiri.
Tindakan ‘kurang ajar’ Mat Sabu selaku Timbalan Presiden Pas, meng‘hero’kan Parti Komunis Malaya (PKM) dan Mat Indera bukannya 25 orang Polis yang terkorban mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dan Tanah Melayu sememangnya adalah ‘suara’ sebenar Pas. Buktinya Presidennya, Haji Abdul Hadi Awang terus membela Mat Sabu dan menganjurkan supaya  rakaman fakta sejarah tanah air perlu tulisan semula.
Tindakan Mat Sabu dan Pas yang memesongkan fakta sejarah sebenarnya bertujuan provokasi, kepentingan peribadi dan politik. Jelas, dengan berbuat demikian menunjukkan mereka tidak mensyukuri nikmat kesenangan dan amalan demokrasi  yang terlaksana dengan cemerlang di negara ini.
Mat Sabu dalam ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos 2011 mendakwa Muhammad Indera yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari  1950 adalah ‘hero’ sebenar kemerdekaan negara.
Mat Sabu sebenarnya menyambung usaha lampau pemimpin Pas lalu untuk memburukkan pejuang tanah air dan para pimpinan UMNO bagi mengurangkan rasa terhutang budi kerana dapat membatalkan rancangan Malayan Union oleh British, menewaskan pengganas komunis serta memerdekakan tanah air.
Sebab itulah Mat Sabu bersikap biadap dengan mendakwa Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan, sebaliknya mengangkat kezaliman komunis sebagai satu kemuliaan. Ini jelas satu penghinaan serta pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air melalui sumbangan besar pemimpin Melayu terdahulu yang menyuntik semangat dan kesedaran politik bagi menentang penjajah Inggeris dan Malayan Union.
Peringkat awal apabila Mat Sabu ditempelak rakyat berkaitan isu ini, beliau cuba menyelamatkan diri dengan menjawab ‘lupa’ terhadap apa yang dituturkan. Apakah Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas dibelenggu sindrom ‘nyanyuk’. Kalau benar amat malanglah ahli Pas mempunyai Timbalan Presiden yang ‘nyanyuk’. Tetapi, apabila disiarkan kenyataan ucapannya melalui rakaman video barulah beliau akur namun enggan memohon maaf.
Sesungguhnya pendirian Mat Sabu yang juga pendirian Pas ini sewajarnya membuka mata dan keinsafan kepada ahli dan penyokong Pas bahawa pimpinan Pas telah tersasar daripada perjuangan parti itu sebaliknya mengikut selera mereka demi ‘gilakan kuasa dan Putrajaya’ untuk memerintah. Ini terbukti apabila pimpinan parti itu telah ‘membakul sampah’ perjuangan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam serta melupakan hasrat melaksanakan hulum hudud demi mendapat sokongan khususnya DAP dan orang Cina.
Buktinya dengan tindakan Pas yang ‘menikus’ dan menjadi ‘boneka politik’ kepada DAP dan PKR apabila timbul isu ‘cubaan memurtadkan 12 individu muslim’ di Selangor dan ‘bacaan Quran melalui pembesar suara’ di Pulau Pinang. Sebab itulah juga Pas menukar konsep perjuangan kepada negara berkebajikan dan tidaklah mengejutkan jika Pas juga akan mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan serta meminggirkan raja-raja Melayu.
Ahli dan penyokong Pas juga perlu insaf dengan penuh ikhlas bahawa Pas sekarang sudah jauh terpesong daripada Pas era Ustaz Zulkifli, Burhanuddin Al-Helmi, Asri Muda dan Abu Baqar al-Baqir.
Oleh demikan, ahli dan penyokong Pas perlu melakukan muhasabah. Faktanya; sesiapa yang menyokong kenyataan Mat Sabu dan Pas bermakna menyokong komunis dengan mengamalkan fahaman yang menentang kewujudan tuhan dan agama sejak diasaskan Karl Marx termasuk agama Islam. Karl Marx menganggap agama sebagai candu yang boleh merosakkan manusia dan perlu dihapuskan. Tepuklah dada tanyalah iman.