Khamis, 27 Oktober 2011

SUMBANGAN CERIAKAN PERAYAAN DEEPAVALI

SUNGAI GEDONG – Beberapa keluarga kurang berkemampuan di sini menerima sumbangan dalam kunjungan rumah ke rumah sempena sambutan Deepavali daripada JASA Parlimen Bagan Serai.
        Pemberian sumbangan berupa hamper barangan keperluan dapur dan wang tunai itu dilaksanakan di bawah program Jasa Prihatin yang menyasarkan keluarga kurang berkemampuan yang sedang membuat persiapan menyambut perayaan Pesta Cahaya.
        Salah seorang penerima, Mokana Sunthari a/p Murugesan, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa peka dengan keperluan rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa. ‘Tambahan pula bantuan yang dihulur di waktu perayaan Deepavali, pastinya ia menggembirakan kami’ sambung Sunthari.
Sumbangan disampaikan Setiausaha Barisan Nasional Parlimen Bagan Serai, Zulkarnain Ismail. Hadir sama Pegawai Jasa Bagan Serai, Zarina Abdul Majid.
        Zarina berkata, program itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu para pemimpin masyarakat dan pemimpin kerajaan sentiasa meninjau masalah rakyat terutama yang kurang bernasib baik.
        Sementara itu, Zulkarnain Ismail yang turut mengunjungi keluarga penerima bantuan memuji program yang diadakan kerana selaras dengan dasar kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat terutama berkaitan kebajikan.
        ‘Selain meringankan bebanan dan memeriahkan lagi perayaan Deepavali, bantuan ini juga mampu mengeratkan perpaduan antara anggota masyarakat dengan pemimpin akar umbi dan pegawai agensi kerajaan’ sambung Zulkarnain lagi.

Khamis, 13 Oktober 2011

SAMBUTAN MESRA AIDILFITRI SUNGAI KEPAR MERIAH

SUNGAI KEPAR – Tradisi menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri diteruskan dengan sambutan hangat orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat.
                Majlis Mesra Aidilfitri Setiausaha Barisan Nasional Bagan Serai dan JKKK Sungai Kepar yang diadakan baru-baru ini disambut meriah dengan kehadiran lebih 700 orang pengunjung daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa yang memenuhi perkarangan Kedai MDK, Sungai Gedong dekat sini sejak jam 12 tengahari 24 September lalu.
        Menurut Zulkarnain, penganjuran majlis seumpama ini memberi peluang orang ramai dapat berkumpul dan saling beramah mesra antara satu sama lain selain dapat bertemu dengan pemimpin setempat secara lebih dekat.
        Pelbagai juadah seperti nasi, lemang, laksa, rendang, mee kari dan cendol disediakan untuk orang ramai menjamu selera.
        Majlis ini turut dihadiri YB. Dato’ Sham Mat Sahat, Datin Mazidah Hamidon, Lathpi Hishim, Penghulu Mukim Semanggol dan ketua kampung berdekatan.  
        ‘Saya berpuas hati dengan sambutan orang ramai yang hadir dan juga berterima kasih kepada para petugas yang telah bertungkus lumus menyediakan juadah untuk hidangan kepada orang ramai,’ jelas Zulkarnain lagi.

UMNO/BN BANTU PENDUDUK KURANG BERNASIB BAIK DI SELINSING

SELINSING – Kesusahan dan kesukaran golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan para pesakit menjalani kehidupan seharian terus mendapat perhatian UMNO Bahagian Bagan Serai baru-baru ini.
        Ketabahan seorang  ibu tunggal yang mengidap penyakit kencing manis, Saadiah Mohd Ali, 44, yang mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah turut dibantu. Saadiah juga turut memelihara ayahnya seorang warga emas yang lumpuh dan hanya terlantar di atas katil.
        Penderitaan Saadiah dan ayahnya mendapat perhatian UMNO Bahagian Bagan Serai apabila dikunjungi oleh Zulkarnain Ismail, Setiausaha UMNO/ Barisan Nasional Bagan Serai dan isteri yang telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan bagi meringankan bebanan beliau. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Norsyuada Baharon, Ketua Puteri UMNO Bahagian Bagan Serai dan Penolong Setiausaha Puteri, Norhashimah Saad.
        Saadiah ketika ditemui menyatakan perasaan terharunya kerana kesudian UMNO membantunya dan keluarga. 'Bantuan yang diberikan UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional membuktikan kerajaan  benar-benar mendahulukan rakyat terutama berkaitan kebajikan' sambung Saadiah lagi.  
        Dalam lawatan tersebut, Zulkarnain juga turut menyampaikan sumbangan kepada Ramli Chik, 49, yang tidak dapat bergerak kerana mengalami masalah buah pinggang yang berpunca daripada penyakit kencing manis. Ramli mempunyai seorang isteri dan lapan orang anak, berusia di antara 25 tahun hingga 5 tahun. 'Saya berterima kasih kepada UMNO dan BN Bagan Serai kerana membantu saya dan keluarga. Walaupun kawasan ini diwakili wakil rakyat PAS, kerajaan BN tetap membantu saya. Inilah kerajaan yang bertanggung jawab,' jelas Ramli.
         Sementara itu, Zulkarnain ketika ditemui berkata bahawa UMNO dan Barisan Nasional akan sentiasa membantu rakyat terutama berkaitan kebajikan. 'Sejak merdeka Barisan Nasional telah membuktikan sebagai kerajaan yang amanah dan bertanggung jawab memenuhi tuntutan kebajikan yang diperlukan rakyat. Sebab itulah kita komited meneruskan usaha ini di seluruh parlimen Bagan Serai. Bukan seperti PAS yang baru melaungkan kebajikan pada hal kebajikan rakyat diabaikan walaupun di kawasan yang diwakilinya,' tegas Zulkarnain lagi.  

        

Selasa, 4 Oktober 2011

SEHELAI SEPINGGANG, KEDIAMAN HANGUS KEBAKARAN

Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Gabis Bawah, Bagan Serai kira-kira jam 11.30 pagi Isnin lalu. Bomba Daerah Bagan Serai yang tiba di tempat kejadian sejurus kebakaran berusaha memadamkan kebakaran tetapi api yang marak dan cepat merebak menghanguskan rumah dan harta benda. Kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000.


         Mangsa, Puzi bin Yahaya berkata  punca kejadian masih disiasat oleh pihak bomba. Ketika kejadian beliau dan isterinya keluar bekerja di Semanggol sementara  anak-anaknya serta anak saudara yang tinggal bersamanya bersekolah.
“Saya bersyukur keluarga saya selamat. Saya anggap ini adalah dugaan Allah terhadap saya dan keluarga. Rumah saya baru sahaja diganti bumbung dalam lawatan Menteri Besar Perak, YAB. Dato’ Seri Dr. Zambry ke Parit Gabis   tahun lalu” katanya yang ditemui semasa lawatan di tempat kejadian oleh Dato’ Zaili Cha, Penyelaras Parlimen Bagan Serai.
Dalam lawatan tersebut, Dato’ Zaili Cha yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai telah menghulurkan sumbangan daripada UMNO Bahagian Bagan Serai sebanyak RM1,000.  Beliau juga turut menyampaikan bantuan wang tunai  bagi pihak Tabung Bencana Daerah, Majlis Daerah Kerian dan Baitul Mal, Pejabat Agama Islam Bagan Serai masing-masing bernilai RM1,000, dan bantuan makanan daripada Kebajikan Masyarakat Daerah Kerian yang turut dihadiri para pegawainya dalam lawatan tersebut.   
 “Saya juga akan membantu mendapatkan bantuan lain yang melibatkan peralatan persekolahan seperti pakaian, buku-buku dan makanan melalui Program KWAMP Kecemasan yang akan diurus secepat mungkin oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kerian kepada dua orang anak Puzi serta anak saudaranya yang sedang belajar di SK. Teluk Medan dan SMK. Abu Bakar al Baqir” jelas Dato’ Zaili.

Menurut Dato’ Zaili lagi; beliau dan UMNO dan Barisan Nasional  Bagan Serai amat bersimpati dengan kemalangan yang menimpa keluarga Puzi. 3 buah basikal juga akan disumbangkan kepada anak dan anak saudara Puzi bagi kemudahan mereka ke sekolah. Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah  Abdul Moin Mustafa, Penyelaras DUN Selinsing; para pegawai Zulkarnain Ismail, Setiausaha Barisan Nasional Parlimen Bagan Serai; Asmah Ramli, Ketua Wanita Bagan Serai, Sharudin Ahmad, Ketua Pemuda Bagan Serai, Norsyuhada Baharon, Ketua Puteri Bagan Serai, Azahari Saad, Penghulu Bagan Serai, dan  Azmi Samsudin, Ketua Kampung Parit Gabis.