Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Gabis Bawah, Bagan Serai kira-kira jam 11.30 pagi Isnin lalu. Bomba Daerah Bagan Serai yang tiba di tempat kejadian sejurus kebakaran berusaha memadamkan kebakaran tetapi api yang marak dan cepat merebak menghanguskan rumah dan harta benda. Kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000.
Mangsa, Puzi bin Yahaya berkata punca kejadian masih disiasat oleh pihak bomba. Ketika kejadian beliau dan isterinya keluar bekerja di Semanggol sementara anak-anaknya serta anak saudara yang tinggal bersamanya bersekolah.
Mangsa, Puzi bin Yahaya berkata punca kejadian masih disiasat oleh pihak bomba. Ketika kejadian beliau dan isterinya keluar bekerja di Semanggol sementara anak-anaknya serta anak saudara yang tinggal bersamanya bersekolah.
“Saya bersyukur keluarga saya selamat. Saya anggap ini adalah dugaan Allah terhadap saya dan keluarga. Rumah saya baru sahaja diganti bumbung dalam lawatan Menteri Besar Perak, YAB. Dato’ Seri Dr. Zambry ke Parit Gabis tahun lalu” katanya yang ditemui semasa lawatan di tempat kejadian oleh Dato’ Zaili Cha, Penyelaras Parlimen Bagan Serai.
Dalam lawatan tersebut, Dato’ Zaili Cha yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai telah menghulurkan sumbangan daripada UMNO Bahagian Bagan Serai sebanyak RM1,000. Beliau juga turut menyampaikan bantuan wang tunai bagi pihak Tabung Bencana Daerah, Majlis Daerah Kerian dan Baitul Mal, Pejabat Agama Islam Bagan Serai masing-masing bernilai RM1,000, dan bantuan makanan daripada Kebajikan Masyarakat Daerah Kerian yang turut dihadiri para pegawainya dalam lawatan tersebut.
“Saya juga akan membantu mendapatkan bantuan lain yang melibatkan peralatan persekolahan seperti pakaian, buku-buku dan makanan melalui Program KWAMP Kecemasan yang akan diurus secepat mungkin oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kerian kepada dua orang anak Puzi serta anak saudaranya yang sedang belajar di SK. Teluk Medan dan SMK. Abu Bakar al Baqir” jelas Dato’ Zaili.
Menurut Dato’ Zaili lagi; beliau dan UMNO dan Barisan Nasional Bagan Serai amat bersimpati dengan kemalangan yang menimpa keluarga Puzi. 3 buah basikal juga akan disumbangkan kepada anak dan anak saudara Puzi bagi kemudahan mereka ke sekolah. Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Abdul Moin Mustafa, Penyelaras DUN Selinsing; para pegawai Zulkarnain Ismail, Setiausaha Barisan Nasional Parlimen Bagan Serai; Asmah Ramli, Ketua Wanita Bagan Serai, Sharudin Ahmad, Ketua Pemuda Bagan Serai, Norsyuhada Baharon, Ketua Puteri Bagan Serai, Azahari Saad, Penghulu Bagan Serai, dan Azmi Samsudin, Ketua Kampung Parit Gabis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan