SUNGAI GEDONG – Beberapa keluarga kurang berkemampuan di sini menerima sumbangan dalam kunjungan rumah ke rumah sempena sambutan Deepavali daripada JASA Parlimen Bagan Serai.
Pemberian sumbangan berupa hamper barangan keperluan dapur dan wang tunai itu dilaksanakan di bawah program Jasa Prihatin yang menyasarkan keluarga kurang berkemampuan yang sedang membuat persiapan menyambut perayaan Pesta Cahaya.
Salah seorang penerima, Mokana Sunthari a/p Murugesan, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa peka dengan keperluan rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa. ‘Tambahan pula bantuan yang dihulur di waktu perayaan Deepavali, pastinya ia menggembirakan kami’ sambung Sunthari.
Sumbangan disampaikan Setiausaha Barisan Nasional Parlimen Bagan Serai, Zulkarnain Ismail. Hadir sama Pegawai Jasa Bagan Serai, Zarina Abdul Majid.
Zarina berkata, program itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu para pemimpin masyarakat dan pemimpin kerajaan sentiasa meninjau masalah rakyat terutama yang kurang bernasib baik.
Sementara itu, Zulkarnain Ismail yang turut mengunjungi keluarga penerima bantuan memuji program yang diadakan kerana selaras dengan dasar kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat terutama berkaitan kebajikan.
‘Selain meringankan bebanan dan memeriahkan lagi perayaan Deepavali, bantuan ini juga mampu mengeratkan perpaduan antara anggota masyarakat dengan pemimpin akar umbi dan pegawai agensi kerajaan’ sambung Zulkarnain lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan