SELINSING – Kesusahan dan kesukaran golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan para pesakit menjalani kehidupan seharian terus mendapat perhatian UMNO Bahagian Bagan Serai baru-baru ini.
Ketabahan seorang ibu tunggal yang mengidap penyakit kencing manis, Saadiah Mohd Ali, 44, yang mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah turut dibantu. Saadiah juga turut memelihara ayahnya seorang warga emas yang lumpuh dan hanya terlantar di atas katil.
Penderitaan Saadiah dan ayahnya mendapat perhatian UMNO Bahagian Bagan Serai apabila dikunjungi oleh Zulkarnain Ismail, Setiausaha UMNO/ Barisan Nasional Bagan Serai dan isteri yang telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan bagi meringankan bebanan beliau. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Norsyuada Baharon, Ketua Puteri UMNO Bahagian Bagan Serai dan Penolong Setiausaha Puteri, Norhashimah Saad.
Saadiah ketika ditemui menyatakan perasaan terharunya kerana kesudian UMNO membantunya dan keluarga. 'Bantuan yang diberikan UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional membuktikan kerajaan benar-benar mendahulukan rakyat terutama berkaitan kebajikan' sambung Saadiah lagi.
Dalam lawatan tersebut, Zulkarnain juga turut menyampaikan sumbangan kepada Ramli Chik, 49, yang tidak dapat bergerak kerana mengalami masalah buah pinggang yang berpunca daripada penyakit kencing manis. Ramli mempunyai seorang isteri dan lapan orang anak, berusia di antara 25 tahun hingga 5 tahun. 'Saya berterima kasih kepada UMNO dan BN Bagan Serai kerana membantu saya dan keluarga. Walaupun kawasan ini diwakili wakil rakyat PAS, kerajaan BN tetap membantu saya. Inilah kerajaan yang bertanggung jawab,' jelas Ramli.
Sementara itu, Zulkarnain ketika ditemui berkata bahawa UMNO dan Barisan Nasional akan sentiasa membantu rakyat terutama berkaitan kebajikan. 'Sejak merdeka Barisan Nasional telah membuktikan sebagai kerajaan yang amanah dan bertanggung jawab memenuhi tuntutan kebajikan yang diperlukan rakyat. Sebab itulah kita komited meneruskan usaha ini di seluruh parlimen Bagan Serai. Bukan seperti PAS yang baru melaungkan kebajikan pada hal kebajikan rakyat diabaikan walaupun di kawasan yang diwakilinya,' tegas Zulkarnain lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan